Kakitangan kesihatan membuat semburan nyahkuman terhadap ahli keluarga mangsa korban Covid-19 di bilik mayat sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 23 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Majoriti maut akibat Covid-19 ada darah tinggi, kencing manis

SHAH ALAM, 28 MEI: Majoriti kes kematian akibat Covid-19 hari ini mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menyebut seorang wanita berusia 32 tahun yang mengalami masalah kesihatan sama mati di Hospital Kajang.

Kenyataan sama juga menyebut jenazah seorang wanita warganegara berusia 27 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur tetapi tidak dinyatakan ada penyakit.

Sebanyak 61 kes kematian lagi direkodkan hari ini dengan Selangor menjadi negeri tunggal yang mencatat kes korban dua digit membabitkan 19 kes.

Lapan maut akibat jangkitan virus di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (enam), Kedah (lima) dan masing-masing empat di Johor serta Sarawak.

Melaka pula mencatatkan tiga kes kematian, masing-masing dua kes di Pulau Pinang, Kelantan, Labuan dan Terengganu serta satu di Sabah.

Seramai 2,552 individu maut akibat Covid-19 sejak pandemik melanda negara tahun lalu.

 


Pengarang :