Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Serbaguna MPAJ, AU2, Hulu Kelang pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Makin ramai buat saringan selepas cuti Aidilfitri, kata Selcare

GOMBAK, 18 MEI: Bilangan peserta saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri meningkat selepas cuti Aidilfitri berbanding bulan sebelumnya.

Pengurus Klinik Selcare berkata kenaikan didorong kesedaran orang ramai berikutan penambahan kes wabak di Selangor sejak kebelakangan ini.

“Sebelum ini jumlah mereka yang membuat saringan menepati sasaran sekitar 1,000 orang dan pernah mencapai sehingga 1,600 orang pada satu-satu masa.

“Hari ini hari pertama selepas Aidilfitri dan setakat jam 11 pagi lebih 2,240 orang mendaftar di Hulu Kelang manakala Bukit Antarabangsa pula melebihi 1,700 orang,” kata Mohd Noor Md Nasir.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Serbaguna MPAJ di AU2 di sini.

Mohd Noor turut berharap orang ramai terus mengambil mengambil peluang untuk membuat saringan bagi mengetahui status kesihatan diri masing-masing.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah.

Ujian bermula di DUN Kajang diikuti Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai, Dusun Tua, Lembah Jaya, Pandan Indah, Bukit Antarabangsa dan Hulu Kelang.

 


Pengarang :