Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kampung Gumut, Kalumpang, Hulu Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Mangsa ribut Kampung Kalumpang terima bantuan segera

HULU SELANGOR, 1 MEI: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor menghulur bantuan segera RM300 dan bakul makanan kepada keluarga terjejas akibat kejadian ribut pada Khamis.

Dato’ Menteri Besar berkata PDT juga diminta berbincang dengan anak syarikat Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berhubung kos pembaikan empat rumah yang rosak teruk.

“MBI ada peruntukan khas untuk melaksanakan program tanggungjawab korporat (CSR) untuk membaiki kerosakan rumah.

“Malah kita juga boleh mendapatkan bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sekiranya memerlukan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Hulu Selangor di Masjid Bandar Utama Batang Kali semalam.

Pada Khamis, empat buah rumah di Kampung Kalumpang, Rawang terjejas teruk akibat kejadian ribut.

Hujan lebat pada jam 2 petang turut menyebabkan Pondok Bustanul Asyrafiah dinaiki air serta pokok tumbang menghalang laluan.


Pengarang :