AGENDANASIONAL

Maqis patah cubaan seludup 150kg benih belut di KLIA

SEPANG, 19 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 150 kilogram (kg) benih belut jenis Anguilla Bicolor yang cuba dieksport ke Hong Kong melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata rampasan itu dibuat ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan gudang kargo KLIA sebelum dagangan tersebut yang bernilai RM61,612 dijadualkan dieksport pada jam 9 pagi hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesalahan pada barang dagangan tersebut iaitu tidak mempunyai permit eksport Maqis manakala Sijil Kesihatan Perikanan yang dikemukakan kepada pegawai yang bertugas adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata kesalahan mengeksport dagangan hasil perikanan tanpa mempunyai permit eksport merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksima enam tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA


Pengarang :