Hee Loy Sian melawat tapak program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Masyarakat digalak sertai Saringan Komuniti, usaha kekang Covid-19

PETALING JAYA, 25 MEI: Orang awam digalak menyertai Saringan Komuniti Covid-19 yang sedang giat dilaksana di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN).

EXCO Kerajaan Negeri berkata tindakan itu bagi mencegah penularan wabak dan mengasingkan mereka yang dijangkiti.

“Masyarakat harus mengambil peluang disediakan terutama golongan tiada gejala untuk hadir ke saringan ini.

“Kita tidak mahu terdapat ‘pembawa senyap’ dalam kalangan penduduk sekali gus menyebabkan wabak merebak,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata demikian pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Komuniti MBPJ 51A/227 di DUN Bukit Gasing di sini semalam.

Program bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dijalankan serentak di Dewan Balairaya MBPJ Jalan PJS 2D/11 yang memanfaatkan masyarakat DUN Taman Medan.

Mulai 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan secara aktif melalui Saringan Komuniti percuma di seluruh negeri.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :