AGENDANASIONAL

Mayat bayi dihurung semut ditemui tepi jejantas

SHAH ALAM, 5 MEI: Mayat seorang bayi lelaki dipercayai ditinggalkan sejak dua hari lalu, ditemui di tepi Jejantas Jalan Jepun Kampung Delek, Taman Muhamad Yamin, Klang petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan berkata pihaknya menerima laporan dari pengawal keselamatan wanita pada jam 6.12 petang, yang menemui bayi itu dalam keadaan dihurung semut.

“Menurut wanita itu, dia menjumpai mayat berkenaan dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Sungai Sireh dari tempat kerja di Sungai Jati.

“Pada awalnya, wanita terbabit nampak sepasang suami isteri berada di lokasi dan memberitahu ada mayat bayi tetapi tidak menghubungi polis, lalu wanita itu menghubungi MERS 999,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dalam kenyataan.

Beliau berkata tiada kesan kecederaan pada tubuh bayi berkenaan dan mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat jam 2 petang ini.

“Pemeriksaan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati bayi lelaki cukup sifat, panjang anggaran kurang dari dua kaki bertali pusat.

“Siasatan juga dijalankan bagi mengetahui sama ada bayi itu masih hidup atau sudah meninggal dunia ketika ditinggalkan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.


Pengarang :