AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB ajak rakyat sambut Aidilfitri dengan semangat perangi Covid-19

SHAH ALAM, 12 MEI: Dato’ Menteri Besar mengajak seluruh umat Islam khususnya warga Selangor untuk sama-sama menyambut Aidilfitri dengan semangat memerangi Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jika Aidilfitri tahun lalu dengan ungkapan norma baharu bagi menggambarkan sambutan yang tidak pernah dilalui, 1 Syawal kali ini membawa perasaan ‘déjà vu’ bagai mengulangi perkara sama.

“Dengan semangat kita jaga kita, kita membuktikan tahun lalu umat Islam mampu meraikan Aidilfitri dengan sederhana tanpa mengunjungi bazar, balik kampung atau berkumpul di rumah saudara-mara serta rakan.

“Pada waktu itu, kita berjaya menikmati detik perayaan dengan keluarga tersayang di rumah sendiri. Kita juga mengadaptasi diri kepada norma baharu dan menghubungi keluarga di kampung melalui panggilan video WhatsApp atau Zoom.

“Paling tidak, kita mempunyai kesempatan menyantuni jiran tetangga terdekat dengan berkongsi makanan atas kekangan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya menerusi kenyataan perutusan Aidilfitri.

Namun kata Amirudin, beliau melihat situasi kali ini tidak seperti sebelum ini di mana kelompok besar masyarakat kembali kepada kebiasaan lama dengan mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP).

Menurutnya, keadaan tidak menentu dari segi politik mahupun ekonomi mendorong Kerajaan Negeri untuk sentiasa menumpu segala usaha menangani impak kesihatan dan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.

“Sejak PKP diisytiharkan Mac tahun lalu, Kerajaan Negeri dipimpin Pakatan Harapan serta disokong penjawat awam bertungkus-lumus menggunakan teknologi seperti SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), kaedah inovatif seperti saringan bersasar serta Sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) supaya wabak ini dapat ditangani.

“Dalam pada itu, saya menyedari betapa Covid-19 merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita mengenal semula erti sebenar kehidupan; antara nilai diterapkan ibu bapa sejak usia muda lagi.

“Dengan fitrah kemanusiaan dan semangat #KitaSelangor, kita mesti menang dengan perang melawan Covid-19, sepertimana kita memenangi jihad melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan ini. Selamat Hari Raya. Selamat kembali kepada Fitrah. Minal Aidil Wal Faizin. Maaf zahir dan batin,” katanya.


Pengarang :