Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) pada 31 Mei 2021.
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Bukukan tulisan Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan

SHAH ALAM, 31 MEI: Dato’ Menteri Besar mencadangkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) membukukan penulisan mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim untuk rujukan masa depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mendiang banyak berjasa kepada negara terutama mengembalikan perpaduan kaum selepas peristiwa 13 Mei 1969.

“Mendiang antara tokoh penting pembentukan Rukun Negara yang menjadi kunci utama keharmonian kaum dan etnik yang dikecapi sekarang.

“Usaha memartabatkan sejarah sebagai negara majmuk dan kepelbagaian budaya tidak pernah terhenti sehingga akhir hayat,” katanya berucap merasmikan Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) menampilkan anak sulung mendiang yang juga Pengarah PUSAKA Eddin Khoo antara lima panel jemputan.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir

Amirudin berkata Kerajaan Negeri menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim sebagai mengenang jasa mendiang.

Penamaan semula jalan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sejarawan dan ahli akademik itu meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru ketika usia 82 tahun pada 28 Mei tahun lepas.

 


Pengarang :