AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Guru aset bernilai lahir generasi berakhlak demi kemajuan negara

SHAH ALAM, 16 MEI: Guru merupakan aset bernilai sekiranya berazam memajukan negara dengan melahirkan generasi muda berakhlak, berketrampilan dan berwawasan.

Dato’ Menteri Besar berkata warga pendidik turut menggalas tanggungjawab memastikan generasi baharu menjadi aset pada masa hadapan.

“Namun, nilai sahsiah atau moral pelajar yang baik tidak dapat dilahirkan jika tidak melalui proses didikan tenaga kerja yang komited atau diabaikan kebajikannya seperti telah dan sedang dilalui guru kita.

“Ketidaktentuan peraturan berkenaan perihal Covid-19 sekali gus ketaksaan sistem dan hala tuju dasar pendidikan negara harus menjadi tumpuan utama,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Guru hari ini.

Beliau berkata tekanan dilalui guru sama seperti masyarakat lain dan perkara itu tidak boleh diabaikan malahan wajib diperbaiki tanpa mempolitikkan sistem serta matlamat pendidikan negara.

“Justeru, faktor ini menyumbang kepada keresahan dalam kalangan pengajar sehingga boleh menimbulkan kes berkait seperti dialami pelajar Ain Husniza Saiful Nizam yang tular di TikTok baru-baru ini.

“Jika guru diabaikan, adakah wajar untuk kita mengharapkan keperluan, keselamatan dan kebajikan pelajar dipelihara?,” soalnya.

Menurutnya, pemimpin perlu memainkan peranan agar kebajikan masyarakat tidak terabai terutama ketika negara sedang berhadapan krisis pandemik.

“Usaha sebegini dapat memberi nafas baharu supaya kerjaya seorang guru mencapai apa diungkapkan Abraham Lincoln sebagai ‘the better angels of our nature’. Selamat Hari Guru kepada petugas barisan hadapan pendidikan negara!” katanya lagi.


Pengarang :