Orang ramai sanggup beratur dua kilometer untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Masyarakat Bandar Kinrara 2, Puchong pada 22 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Hampir 30,000 sertai Saringan Komuniti Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 23 MEI: Seramai 29,239 individu menyertai Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor sejak 8 Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah yang direkodkan hingga semalam itu, sebanyak 1,494 kes disyaki positif.

“Sertai ujian saringan ini dan pra-daftar di https://screening.selangkah.my/login atau gunakan SELangkah (aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Peserta saringan menjalani Saringan Komuniti secara pandu lalu di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 18 saringan dilaksanakan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar Hulu Langat, Gombak dan sebahagian Petaling.

Hari ini saringan dijalankan di Laman Sukan USJ 1 dan Dewan Komuniti MBPJ Kampung Lindungan, masing-masing melibatkan DUN Subang Jaya dan Seri Setia.

Saringan bermula 9 pagi hingga 4 petang itu akan diteruskan esok untuk DUN Taman Medan dan Bukit Gasing.

Kerajaan Selangor menjalankan pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sehingga 10 Jun ini.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :