Orang ramai menonton Program Senandung Aidilfitri secara langsung melalui siaran SelangorTV di kediaman mereka di Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 14 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ingatkan warga Selangor patuh SOP ketika beraya

SHAH ALAM, 14 MEI: Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai khususnya warga Selangor agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut Aidilfitri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dalam kegembiraan menyambut hari lebaran semua pihak harus sedar negara ketika ini masih dilanda wabak Covid-19.

“Marilah kita sambut hari raya dengan penuh kesyukuran, keinsafan namun begitu di saat kita gembira kita harus ingat mereka yang berada dalam keadaan sukar. Patuhlah SOP kerana kita masih dalam proses mengekang Covid-19,” katanya.

Beliau berucap demikian pada program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor yang disiarkan secara dalam talian di saluran http://selangortv.my dan Youtube carian SelangorTV.

Siti Nordiana mengadakan persembahan sewaktu rakaman Senandung Aidilfitri yang akan disiarkan melalui platform Media Selangor. Foto Megaday Media Sdn Bhd

Selain persembahan artis, program selama 75 minit itu menyelitkan maklumat mengenai usaha Kerajaan Negeri serta memaparkan sedikit ‘kisah’ Dato’ Menteri Besar bersama rakyat.

Antaranya, Amirudin meluangkan masa ke bazar ramadan bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad dengan hanya menaiki motosikal untuk membeli juadah berbuka.

Sementara itu, EXCO kebudayaan dan warisan berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program yang julung kali diadakan itu.

“Terima kasih kepada semua yang menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor, Insyallah kita dapat akan jayakan pada masa seterusnya,” kata Borhan Aman Shah.

Bersiaran jam 9 malam tadi, program itu turut menampilkan Aisyah, Najwa Latif, Siti Nordiana, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker dan Ahmad Yassin, Salleh Yaacob, Raja Azura dan Ropie Cecupak.

Program anjuran Kerajaan Selangor dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat), Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Gaya Travel akan diulang siar melalui Facebook http://Media Selangor jam 3 petang esok.


Pengarang :