Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kempen media sosial beri dampak besar kepada Israel

SHAH ALAM, 27 MEI: Kempen ‘Israel Koyak’ yang digerakkan rakyat Malaysia dianggap berjaya memberi dampak besar sehingga menjejas emosi pengganas Zionis.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen menerusi media sosial dengan perkataan ‘koyak’ itu juga salah satu faktor Israel menjadikan Malaysia sebagai sasaran serangan.

“Respon dari Israel agak luar biasa hingga mereka isytiharkan beberapa negara termasuk di Malaysia sebagai salah satu daripada sasaran.

“Ini tidak sepatutnya menghentikan kita dan kita akan mencipta dan merangka strategi yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Forum Peduli Palestin yang diadakan bersiaran secara langsung di Facebook Insititut Darul Ehsan (IDE) malam tadi.

Turut sama, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Zawawi Ahmad Mughni, Timbalan Pengerusi IDE, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shammala.

Amirudin berharap Duta Malaysia ke Timur Tengah (Dato’ Seri Abdul Hadi Awang) dapat membantu membawa keamanan kepada Palestin.

“Saya percaya kini Malaysia sudah ada Duta Timur Tengah, justeru mesti ada sumbangan lain dan tidak hanya pekikan atau ‘troll’ di media sosial sebaliknya wujud sumbangan yang lebih bersesuaian,” katanya.


Pengarang :