Tangkap layar video tular yang mendakwa suasana di CAC Stadium Melawati dan suasana sebenar pusat penilaian Covid-19 itu yang dikongsi Dato’ Menteri Besar pada 9 Mei 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

MB nafi video tular, CAC Stadium Malawati bukan pusat kuarantin

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar memaklumkan video tular mengenai dakwaan suasana terkini di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati adalah tidak benar.

Dato’Seri Amirudin Shari berkata CAC itu adalah pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti yang didakwa.

“CAC Stadium Malawati adalah sebagai pusat penilaian tahap kesihatan pesakit Covid-19 dan bukan pusat kuarantin seperti di MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia).

“Pesakit Covid-19 juga tidak dibenarkan bermalam di CAC Stadium Malawati,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut berkongsi contoh gambar aktiviti di CAC berkenaan.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp audio selama lebih dua minit berserta video TikTok selama 14 saat mendakwa suasana di satu lokasi pusat kuarantin.

Berdasarkan audio berkenaan individu itu mendakwa suasana terkini di CAC Stadium Malawati yang jumlahnya terlalu ramai pesakit Covid-19.

Awal Februari lalu, Stadium Malawati beroperasi sebagai CAC bagi daerah Petaling menggantikan CAC Dewan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di SS15.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat itu memainkan peranan untuk menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarah menjalani kuarantin di rumah.


Pengarang :