Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, melawat tapak program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: PKP menyeluruh di Selangor perlu diputuskan MKN

AMPANG, 18 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di Selangor perlu melalui pelbagai peringkat termasuk perbincangan dengan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar menegaskan perkara itu hanya pandangan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba tetapi keputusan mengenai hal berkenaan belum diputuskan lagi.

“Kita harus berbincang dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) perlu bermesyuarat, mengesahkan kepada Kerajaan Negeri apa yang perlu kami lakukan atau tindakan susulan perlu dibuat.

“Kuasa sebenarnya di tangan Kementerian Kesihatan terutama untuk menyarankan (PKP menyeluruh) dan MKN akan buat keputusan berdasarkan maklum balas. Saya rasa ia masih peringkat awal,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr Adham semalam berkaitan penguatkuasaan PKP menyeluruh di Selangor berikutan bilangan kes harian tinggi di negeri itu.

Namun, Amirudin mengakui sebahagian kecil masyarakat termasuk penduduk negeri ini tidak mematuhi SOP yang boleh mengakibatkan Covid-19 merebak.

“Hal ini bagaimanapun perlu dibincang dan MKN perlu meneliti secara keseluruhan bagaimanakah dengan nasib kita jika PKP penuh dilaksana seperti Mac tahun lalu,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini hari ini.


Pengarang :