Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang pada 2 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan Komuniti jejak ‘pembawa senyap’, kawal rebakan virus

SHAH ALAM, 7 MEI: Saringan komuniti secara percuma anjuran Kerajaan Negeri bertujuan menjejak ‘pembawa senyap’ virus sekaligus mengawal perebakan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha tersebut selaras empat prinsip memerangi wabak iaitu mencari, menjejak, menguji dan mengasing pesakit.

“Pelan Tindakan Kesihatan Awam Negeri Selangor melaksanakan program mengesan kes positif secara aktif bagi memulakan Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19.

“Justeru, Saringan Komuniti bersasar secara percuma kepada warga Selangor bermula 8 Mei (esok) sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran dua DUN sehari,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata saringan bermula di DUN Kajang dan DUN Semenyih pada esok, diikuti 9 Mei di DUN Sungai Ramal dan DUN Balakong.

Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri peka dengan peningkatan kes baharu melebihi paras 1,200 mutakhir ini serta perlu merangka tindakan lebih proaktif bagi mengelak gelombang keempat wabak.

“Kita boleh menang dalam peperangan melawan Covid-19 ini. Ajak keluarga serta rakan-rakan untuk menghadiri saringan percuma, pengesanan jangkitan lebih awal mampu mempercepatkan kemenangan kita.

“Ketahui lokasi dan tarikh khidmat saringan percuma berdekatan anda di http://www.amirudinshari.com/saringan-covid19 ,” katanya.


Pengarang :