Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Cempaka, Saujana Impian, Kajang pada 8 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan percuma di lapan DUN kesan 388 kes Covid-19

SHAH ALAM, 12 MEI: Sebanyak 388 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan percuma anjuran Kerajaan Negeri di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) selama empat hari sejak Sabtu.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan diperoleh daripada 8,585 individu yang disaring di DUN Kajang, Semenyih, Sungai Ramal, Balakong, Teratai, Dusun Tua, Pandan Indah dan Lembah Jaya.

“Kita berkemungkinan menjadi pembawa virus yang tidak aktif atau ‘silent carrier’, dan ia menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kesihatan dan nyawa mereka di sekeliling kita, terutama golongan berisiko tinggi seperti warga emas.

“Sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri, warga Selangor diingatkan agar mengikuti arahan Majlis Keselamatan Negara,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Beliau menambah, Saringan Komuniti akan diteruskan dan menyarankan orang ramai menyertainya di DUN masing-masing.

“Muat turun aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat), tekan butang ‘Sihat’ dan pilih ‘Pendaftaran Saringan Daftar’,” tambahnya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Saringan dimulakan di DUN Kajang dan Semenyih pada 8 Mei, Sungai Ramal dan Balakong (9 Mei), Teratai dan Dusun Tua (10 Mei) serta Lembah Jaya dan Pandan Indah semalam.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :