Selangorkini
Juwairiya Zulkifli, Maria Chin Abdullah dan Team Selangor ketika melawat Ain Husniza Saiful Nizam di Puncak Alam pada 30 April 2021. Foto Juwairiya Zulkifli
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor teliti bantu pembelajaran remaja isu jenaka rogol

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri bersedia meneliti cadangan bagi membantu sesi pembelajaran Ain Husniza Saiful Nizam termasuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dato’ Menteri Besar berkata remaja berusia 17 tahun yang membuat pendedahan berhubung jenaka rogol oleh gurunya itu wajar dipuji kerana menegakkan hak pelajar perempuan.

“Saya ada kongsikan isu Ain Husniza ini kepada beberapa orang dan ada yang ingin mengambil dia sebagai anak angkat, beri pendidikan tetapi perkara ini perlu dibincang dahulu dengan keluarganya.

“Keberanian Ain Husniza dalam mengetengahkan isu ini juga wajar diberi penghargaan malah saya dimaklumkan Ain tidak ke sekolah hari ini sedangkan dia bakal menduduki SPM,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Biasiswa antara Wanita Berdaya Selangor dan Universiti Terbuka Malaysia di pusat pentadbiran negeri hari ini.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memandang serius isu yang boleh merosakkan minda pelajar sekolah itu jika tidak diambil tindakan.

“Kita sudah jadi masyarakat maju, negeri maju perangai pun sepatutnya berubah, hormat wanita. Malah, Kementerian Pendidikan dan semua pihak berwajib perlu ambil serius isu ini,” katanya.

Malah, Ain Husniza menceritakan gurauan itu disambut gelak tawa pelajar lelaki sedangkan gurauan itu menimbulkan rasa trauma dalam kalangan pelajar perempuan.

Baru-baru ini tular di media sosial apabila Ain Husniza mendedahkan gurauan keterlaluan seperti menggalakkan pelajar melakukan perbuatan rogol menerusi medium Tik Tok.

 


Pengarang :