Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media khas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam pada 5 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Semua sekolah di Selangor ditutup mulai esok

SHAH ALAM, 5 MEI: Semua sekolah harian di Selangor ditutup mulai esok berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah.

Dato’ Menteri Besar berkata penutupan membabitkan sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk institusi pengajian kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor.

“Semua institusi pendidikan di Selangor akan ditutup bermula esok dan saya berharap pihak pengurusan sekolah swasta juga berbuat demikian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media khas hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Izmi Ismail berkata penutupan 938 sekolah dibuat dua hari lebih awal berbanding tarikh asal.

“Sepatutnya sekolah ditutup bermula 8 Mei sempena cuti Aidilfitri, tetapi disebabkan peningkatan kes Covid-19, kita buat keputusan supaya sekolah ditutup lebih awal mulai 6 Mei (esok),” katanya.

Beliau turut mengesahkan kesahihan surat arahan penutupan sekolah yang diedarkan mulai hari ini.

Menerusi surat itu, penutupan dibuat atas nasihat Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) supaya mengekang pergerakan komuniti berikutan peningkatan kes Covid-19.

Penutupan sekolah berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri manakala pergerakan pulang murid asrama mengikut jadual pihak sekolah.

 


Pengarang :