Penduduk Palestin mengibarkan bendera berhampiran Masjid Al-Aqsa di Old City Jerusalem pada 21 Mei 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru umat Islam fikir strategi bantu Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Umat Islam di seluruh negara diseru memikirkan strategi bagi membantu penduduk Palestin yang berterusan menjadi mangsa kekejaman Israel.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha tidak hanya terhad kepada kewangan dan ketenteraan tetapi meliputi perpaduan dan aspek kemanusiaan.

“Kita perlu merangka strategi betul yang difikrkan bersama negara Islam kerana Gaza dan Al-Aqsa bukan hanya simbol biasa tetapi tempat peristiwa Israk Mikraj serta kiblat pertama umat Islam.

“Allah melarang kita undur apabila berdepan pasukan kafir tetapi boleh undur dengan syarat strategi perang yang betul dan bawa kejayaan bersama,” katanya pada Forum Peduli Palestin yang disiarkan secara langsung di Facebook malam ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin bersama EXCO Agama Zawawi Ahmad Mughni pada 24 Mei 2021. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

Forum itu turut menampilkan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammala turut serta.

Amirudin juga meluahkan kebimbangan tindakan pihak tertentu termasuk pemimpin yang menjadikan isu Palestin sebagai platform politik semata-mata.

“Kita lihat semua pimpinan politik semuanya cuba menyampaikan maklumat berkaitan Gaza tetapi apakah langkah atau rancangan strategik untuk hentikan keganasan Israel?” soalnya.

Media antarabangsa melaporkan angka kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung Gaza yang berakhir minggu lalu mencecah 253 orang termasuk kanak-kanak dan wanita.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang menyasar kutipan RM1 juta untuk membantu penduduk Palestin.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.


Pengarang :