Anggota polis memeriksa dokumen pengguna jalan raya ketika melakukan sekatan di Plaza Tol Gombak bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) ketika tinjauan pada 7 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: SOP ketat keputusan terbaik, PKP penuh jika kes kekal tinggi

SHAH ALAM, 26 MEI: Tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lebih ketat mulai semalam merupakan keputusan terbaik ketika ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata sekiranya pelaksanaan hingga 7 Jun itu tidak berkesan dan jangkitan Covid-19 masih meningkat, kerajaan boleh mengumumkan PKP penuh seperti dilakukan tahun lalu.

“Cuma persediaan kena lakukan dari sekarang. Selangor bukan tolak (PKP penuh) tapi kena ada persediaan.

“Ada terselamat wabak, (tapi) mati kelaparan kerana tak dapat bekalan secukupnya. Keputusan kerajaan berkenaan PKP ketat ini juga turut mengambil kira pandangan kita,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat pusat vaksin di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam semalam.

Bermula semalam hingga 7 Jun, kerajaan mengetatkan PKP menerusi dua strategi iaitu arahan bekerja dari rumah serta mengehadkan waktu operasi perniagaan bagi seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan bertujuan mengurangkan pergerakan orang ramai sekali gus mengelak penularan wabak Covid-19.

 


Pengarang :