Dato’ Seri Amirudin Shari, melawat tapak program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 19 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Tiga lokasi saringan catat kadar jangkitan lebih lima peratus

GOMBAK, 19 MEI: Tiga lokasi Saringan Komuniti setakat ini merekod kadar jangkitan Covid-19 lebih lima peratus iaitu pada paras membimbangkan.

Dato’ Menteri Besar berkata lokasi dikenal pasti itu adalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Hulu Kelang dan Bukit Antarabangsa.

“Sebelum ini, data positif Covid-19 mengejutkan kerana kadar kebolehjangkitan melebihi kadar biasa iaitu pada tahap lapan peratus di Kajang dan semalam catatan sama di Bukit Antarabangsa selain tujuh peratus di Hulu Kelang.

“Bagaimanapun, kita percaya saringan ini peluang mengesan lebih banyak kemungkinan berlaku jangkitan dalam komuniti memandangkan antara isu dibangkitkan mengenai kes sporadik dan tempat kerja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas meninjau program Saringan Komuniti di Dewan Beringin Gombak Setia dan Dewan Seri Siantan Sungai Tua di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Tua berkata sambutan terhadap program saringan di dua lokasi serentak itu memberangsangkan apabila menerima 3,800 penyertaan.

Menurutnya, seramai 2,000 individu mendaftar menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di Dewan Beringin Gombak Setia manakala selebihnya di Dewan Seri Siantan Sungai Tua.

“Sebelum kita lancarkan program di setiap DUN, kehadiran pada sekitar 10 hingga 20 peratus daripada 1,000 peserta malah yang terbaik hanya direkod di DUN Balakong (600) namun selepas perebakan kedua Covid-19, kehadiran melebihi jumlah sasaran itu,” katanya.

Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN mulai 8 Mei hingga 10 Jun.

Program di bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) iaitu membolehkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.


Pengarang :