Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bertemu orang ramai yang hadir ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 18 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Umum vaksin lepas teliti syarat, sasar agih mulai Jun

AMPANG, 18 MEI: Pemberian vaksin kepada penduduk Selangor hanya diumumkan selepas Kerajaan Negeri memuktamadkan perjanjian bersama pembekal.

Dato’ Menteri Besar berkata terma dan syarat perjanjian masih diteliti sebelum diberikan kepada orang ramai yang dijangka sekitar Jun ini.

“Selepas perjanjian ditandatangani dan kita mengesahkan berapa banyak jumlah yang kita tempah, saya akan bentangkan pula program pengagihan atau pemberian vaksin ini.

“Kita harap bulan ini kita dapat selesaikan segala proses dan Jun kita dapat agihkan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari mengulas perkembangan terkini pembelian vaksin.

Beliau ditemui selepas melawat program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Selangor di Dewan Dato’ Ahmad Razali di sini.

Semalam, EXCO kesihatan awam menafikan mesej tular di WhatsApp berhubung pemberian vaksin Sinovac kepada penduduk negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud menegaskan kenyataan atau pengumuman rasmi berkaitan vaksin hanya dikeluarkan Dato’ Menteri Besar atau beliau sahaja.

Selangor merancang untuk membeli antara tiga hingga lima juta dos vaksin bagi membendung penularan Covid-19 demi keperluan warga tempatan dan pekerja asing berikutan ada banyak kilang di negeri ini.


Pengarang :