Eddin Khoo menjadi panel Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) pada 31 Mei 2021.
AGENDANASIONAL

Media mesti lapor fakta sahih, tidak terikut media sosial

SHAH ALAM, 31 MEI: Mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim merupakan individu yang menekankan kesahihan fakta dalam setiap pemberitaan.

Sikap sejarawan itu dikongsi anak sulungnya Eddin Khoo supaya media tidak terikut dengan laporan berita tanpa fakta sahih menerusi media sosial.

“Ayah saya banyak menyumbang pandangan atau penulisan di akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan Watan (tamat edaran) serta banyak majalah sukan.

“Media berperanan penting mengimbangi dunia sosial yang menjadi tempat pihak tidak bertanggungjawab mengutarakan berita sesuka hati,” katanya sebagai panel Webinar Pemikiran: Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim secara dalam talian hari ini.

Beliau berkata sepanjang hayat mendiang, bapanya berulang kali menekankan isu perpaduan serta kebudayaan rakyat berbilang kaum.

“Malah ayah saya sering mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah serta tidak pernah jemu memastikan seluruh rakyat memahami sejarah Malaysia,” katanya.

Program kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran (PPFP) dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Panel lain Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Ahli Majlis Diraja Johor Dr Kassim Thukiman, ahli ekonomi Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan wakil Pengajian Teras Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Mohd Adib Akmal Ahmad Shatir.

 


Pengarang :