AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Media Selangor kutip derma untuk tabung Palestin

SHAH ALAM, 23 MEI: Pengurusan Media Selangor mengambil langkah prihatin dengan mewujudkan Tabung Cinta Palestin Media Selangor bagi meringankan beban mangsa kekejaman perang.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata hasil kutipan akan disumbangkan ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin yang dilancarkan Kerajaan Negeri pada 19 Mei lalu.

“Warga Media Selangor dialu-alukan untuk membuat sumbangan ke tabung ini secara dalam talian atau tunai ke tabung fizikal di Jabatan Kewangan dan Perolehan mulai hari ini hingga 30 Mei,” katanya.

Media Selangor dikenali sebagai Communication Corporation Sdn Bhd sejak ditubuhkan lebih 11 tahun lalu
sebagai sebahagian utama jentera penerangan Kerajaan Negeri.

Selain akhbar mingguan SelangorKini dan portal TV Selangor, Media Selangor juga menerbitkan
portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Minggu lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta. Sumbangan boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Bantuan akan diagihkan dalam bentuk ambulans dan kenderaan pelbagai guna serta dilengkapi ubat-ubatan yang menjadi keperluan penduduk Gaza.


Pengarang :