BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Melaram gaya ceriakan sambutan Aidilfitri anak muda

Yang penting melaram. Sudahlah tradisi kunjung-mengunjung tidak digalakkan berikutan wabak Covid-19, asal dapat menggayakan baju raya, itu sudah memadai bagi kebanyakan anak muda.

Lebih seronok, aksi berbusana Aidilfitri digemari ramai berdasarkan reaksi balas pengikut di media sosial, selalunya Instagram.

Begitulah gelagat (trend) anak muda masa kini. Bergambar beramai-ramai dengan pelbagai liuk aksi atau berswafoto dengan gaya tersendiri. Mereka menggelarkannya OOTD atau outfit of the day (gaya hari ini).

Dengan kekangan perintah kawalan, tradisi kunjungan rumah ke rumah berganti kepada ‘kunjungan’ ke halaman media sosial. Masing-masing dengan busana raya, dihiasi aneka aksi, sesetengahnya dianggap jelek di mata masyarakat dewasa.

Bahkan, ada yang memuat naik hingga lima foto pakaian raya setiap hari demi meraih perhatian termasuk komen pengikut mereka.

Daki bukit

Bagi pempengaruh (influencer) Muhammad Nabil Ashraf Suhaimi, 26, beliau gemar memilih lokasi unik dan berimej hipster ketika menggayakan OOTD.

Pernah dua tahun lalu, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mendaki Bukit Singa, Pulau Kipas ketika berhari raya di rumah keluarga angkatnya di Marang, Terangganu.

Beliau bersama bersama seorang lagi rakan mahu mengambil gambar berlatar keindahan semula jadi Bukit Singa dari puncak.

Mereka bertolak seusai solat sunat Aidilfitri ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah itu.

“Kami merancang untuk memakai baju Melayu tetapi niat terpaksa dibatal kerana memikirkan keadaan sukar akan dihadapi apabila mendaki.

“Jadi, kami mengenakan pakaian biasa ketika mendaki tetapi kami tetap membawa selimut sebagai prop OOTD,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Sedang asyik membuat OOTD, sebelah selipar penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam tersangkut di tepi dahan pokok. Nyaris jatuh ke laut.

“Alhamdulillah, masih panjang umur dan selipar itu selamat dibawa pulang. Paling penting dapat rakam gambar dengan berbagai-bagai sudut dan aksi,” katanya yang memiliki kira-kira 37,000 pengikut.

Meskipun hasrat menggayakan baju tradisional tidak kesampaian tetapi mereka tetap melunaskan misi OOTD di puncak bukit pada 1 Syawal. Foto itu pula mendapat reaksi positif pengikut mereka.

Anak sulung tiga beradik juga menjadikan Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya yang menyerupai di Marrakesh, Maghribi sebagai lokasi OOTD pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

“Malangnya, kebanyakan gambar dirakam ketika itu kurang berhasil kerana benang seluar baju Melayu yang digayakan tertetas.

“Mungkin disebabkan gaya OOTD yang dibawakan waktu itu agak pelik. Saya duduk sambil meregang kaki kiri ke depan manakala kaki kanan ke belakang,” katanya.

Promosi baju Melayu

Penyelidik di Jabatan Perikanan Malaysia Mohamad Fathullah Ruslan, 29, pula sering menjadi pilihan pemilik jenama tempatan untuk mempromosi produk mereka.

Memiliki lebih 26,000 pengikut Instagram, beliau diberi kepercayaan untuk membuat ulasan berbayar pelbagai jenis produk terutama pakaian setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Lazimnya, saya buat ulasan adalah kurta dan baju Melayu untuk digayakan sebelum memuat naik OOTD ke Instagram,” katanya yang menjadikan hobi itu untuk menjana pendapatan sampingan.

Sejak lapan tahun lalu, beliau mencipta kandungan dalam bentuk foto dan video untuk dikongsi di Instagram dengan menceritakan pengalaman menggayakan produk bagi membangkitkan minat terhadap sesebuah jenama.

Beliau sentiasa memastikan setiap foto atau rakaman menonjolkan ekspresi muka (close up) sambil memperaga identiti produk.

“Keterangan gambar, tanda pagar dan waktu antara aspek perlu dipertimbang sebelum kandungan dimuat naik,” katanya.


Pengarang :