AGENDANASIONAL

MFL: Pasukan Liga-M dibenar teruskan latihan berpusat

SHAH ALAM, 31 MEI:  Semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dibenar meneruskan latihan secara berpusat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 14 Jun.

Ketua pegawai eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata pihaknya berterima kasih di atas kebenaran diberikan kerajaan dan mengingatkan pasukan terlibat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Demi keselamatan dan kesihatan pegawai serta pemain, hanya latihan pasukan berpusat sahaja dibenarkan bagi fasa pertama PKP ini. Aktiviti lain seperti perlawanan persahabatan, merentas daerah atau negeri tidak dibenarkan sama sekali sehingga diputuskan kelak.

“MFL menggesa semua pasukan agar mematuhi SOP serta memberi kerjasama kepada agensi kerajaan dan komisioner perlawanan dilantik yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan tatacara itu di peringkat pasukan.

“Sebarang kecuaian atau pelanggaran akan mengakibatkan pihak terlibat boleh dikenakan tindakan oleh MFL atau kerajaan,” kata Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan setakat ini, empat pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan UiTM FC serta Terengganu FC II dan PDRM FC daripada Liga Premier sudah mendapat kelulusan MFL mengadakan latihan berpusat.

Katanya, kebenaran ini turut melegakan pasukan yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC selain pemain yang terlibat bersama pasukan kebangsaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum ini MFL menetapkan semua pasukan boleh memohon kebenaran latihan secara berpusat dengan syarat perlu menjalani ujian calitan RT-PCR terlebih dahulu selain menamakan tempat latihan dan penginapan.


Pengarang :