Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MKN benarkan, saringan percuma Selangor diterus esok hingga 10 Jun

SHAH ALAM, 31 MEI: Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri akan diteruskan mengikut jadual sehingga 10 Jun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemeriksaan percuma itu dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula esok.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya perlu menyediakan laporan kepada polis selain meningkatkan kawalan dan mempercepat proses ujian di lokasi saringan.

“Tadi kita bincang (keputusan teruskan saringan) dan aktiviti ini dibenarkan dan tidak dihalang daripada arahan MKN.

“Kita cuba tingkatkan kawalan supaya tidak berlaku perhimpunan orang ramai pada satu-satu masa kerana ini antara usaha untuk elak rebakan Covid-19 di tempat baru,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin Palestin daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Jumaat lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula esok hingga 14 Jun depan.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 36 DUN setakat ini.


Pengarang :