Mohd Khairuddin Othman berucap pada majlis menandatangani perjanjian antara Serba Dinamik Group Berhad dan persatuan e-sukan di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 30 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Modul penerangan e-sukan beri pendedahan kepada ibu bapa

SHAH ALAM, 1 MEI: Kerajaan Negeri akan memperkenalkan satu modul penerangan mengenai e-sukan bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa.

EXCO sukan berkata pihaknya memahami terdapat segelintir ibu bapa memandang negatif bidang berkenaan dan sesuatu perlu dilakukan bagi menepis pandangan sedemikian.

“Pusat pembangunan e-sukan kita melalui modal insan akan anjurkan pelbagai kursus penerangan kerana ada kalangan mereka tidak tahu ia sudah menjadi satu kerjaya.

“Ramai belia kita sudah sampai ke peringkat antarabangsa dengan memenangi hadiah besar. Ibu bapa yang masih negatif ini kerana ada yang ketika bermain, bercampur guna bahasa tidak baik,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Serba Dinamik Group Berhad dan persatuan e-sukan di Hotel Mardhiyyah di sini semalam.

Katanya, kursus atau modul penerangan dicadangkan itu turut diberi kepada anak-anak susulan sebuah pusat pembangunan e-sukan terbesar di Asia Tenggara akan dibangunkan di negeri ini membabitkan kos lebih RM10 juta.

“Pusat pembangunan itu akan dilengkapi akademi latihan, penginapan, studio dan tenaga pengajar dijangka boleh digunakan mulai tahun hadapan,” katanya.


Pengarang :