Anggota penguat kuasa MPS merobohkan pondok sembah haram dalam satu operasi di Taman Ehsan, Kepong dan Selayang Utama pada 3 Mei 2021. Foto ihsan MPS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPS roboh pondok sembah, kedai cuci kereta haram

SHAH ALAM, 5 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin merobohkan tiga pondok sembah yang dibina tanpa kebenaran dan menimbulkan kacau ganggu.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata tindakan sekitar Taman Ehsan, Kepong dan Selayang Utama berdasarkan aduan daripada orang ramai.

“Ini merupakan operasi ketiga yang dijalankan MPS. Dua operasi sama dilaksana pada 18 dan 26 April lalu di Taman Sri Batu Caves dan Perindustrian Rawang Integrated,” katanya menambah tindakan mengikut Seksyen 46 (1) a – Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Pada masa sama, beliau berkata MPS turut merobohkan struktur binaan haram perniagaan cuci kereta di Jalan KIP 2, Taman Perindustrian KIP.

“MPS memberi amaran bahawa pemantauan dan tindakan terhadap binaan tanpa kebenaran akan terus dilaksana bagi memastikan undang-undang dan kesejahteraan persekitaran dipatuhi,” kata Mohamad Zin.

 

 


Pengarang :