Pengunjung tetap mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka meskipun hujan lebat ketika membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 13 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Operasi bazar Ramadan di enam daerah dihentikan mulai 8 Mei

SHAH ALAM, 5 MEI: Operasi bazar Ramadan di enam daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dihentikan mulai 8 Mei, kata Dato’ Menteri Besar.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bazar Aidilfitri dan pasar malam dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan mematuhi syarat ketat.

“Jumlah pengunjung pada satu-satu masa dihadkan mengikut saiz bangunan atau premis, sistem nombor giliran dikuatkuasakan dan kanak-kanak bawah 12 tahun dilarang masuk.

“Lain-lain perkara akan diputuskan dari masa ke masa oleh pengurusan bazar, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Amirudin berkata pengurusan bazar perlu melantik pegawai pemantau bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi atau berdepan saman dan ditutup serta-merta.

Sementara itu, beliau berkata makan di restoran dan hotel (dine-in) termasuk bufet Ramadan tidak lagi dibenarkan mulai esok.

“Kedai runcit, stesen minyak dan restoran boleh beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam sepanjang tempoh PKP. Perincian lain tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Enam daerah di Selangor iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 17 Mei.

Sementara Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor kekal dalam kawasan PKPB.


Pengarang :