Orang awam memilih baju raya di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 18 Mei 2020 sebagai persediaan menyambut Aidilfitri minggu depan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Operasi Festira sehingga 10 malam, jumlah pengunjung dihadkan

SHAH ALAM, 7 MEI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) di tiga lokasi Festival Ramadan Selangor (Festira) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Shah Alam dan Bangi.

Pemangku pengurus pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall berkata setiap pintu masuk dikawal ketat bagi mengelakkan kesesakan selain pelaksanaan sistem penggiliran pengunjung.

“Jumlah pengunjung dihadkan kepada 400 individu pada satu-satu masa selain tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun masuk ke Festira.

“Kedudukan peniaga juga disusun semula bagi memudahkan sistem laluan sehala berjalan lancar,” kata Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya operasi Festira juga dipendekkan sehingga 10 malam sahaja berbanding 12 malam sebelum ini.

“Bilangan penguat kuasa turut ditambah supaya dapat memantau pematuhan SOP setiap masa sekali gus mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Festira berlangsung hingga 12 Mei ini di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall selain penjualan secara dalam talian di http://BazaarLokal.com.

Tahun lalu, Festira yang melibatkan kira-kira 1,100 lot gerai terpaksa dibatalkan susulan penularan pandemik itu.


Pengarang :