Seorang pekerja restoran membungkus makanan pelanggan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di sebuah restoran sekitar pusat bandar Shah Alam pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Operasi niaga dihadkan hingga 8 malam mulai 25 Mei

SHAH ALAM, 22 MEI: Waktu operasi perniagaan di seluruh Semenanjung dan Labuan dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa Selasa ini, kata menteri kanan keselamatan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan kedai makan, pasar raya, kendera saji, gerai, kiosk, kedai runcit, kedai serbaneka, dobi, pandu lalu dan e-panggilan.

Beliau menjelaskan arahan sama turut dikenakan bagi  stesen minyak kecuali di lebuh raya yang kekal beroperasi 24 jam.

“Hanya farmasi dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam. Pasar malam bermula 4 petang dibenarkan hingga 8 malam,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan operasi perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata berkuat kuasa 25 Mei juga, hampir tujuh juta pekerja sektor awam dan swasta bekerja dari rumah.

“Sebanyak 80 peratus kakitangan awam dan 40 peratus pekerja swasta akan bekerja dari rumah.

“Kesan ini membolehkan kita kawal aktiviti harian rakyat,” katanya.

Antara tatacara operasi piawai (SOP) lain diketatkan:

-Penggunaan imbasan MySejahtera
-Jumlah pengunjung di pasar raya dihadkan
-Pemeriksaan agresif penguat kuasa
-Pemeriksaan secara bersepadu di tempat awam
-Meningkatkan pengoperasi Ops pada hari minggu dan cuti umum
-Sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi kenal pasti kawasan berisiko dan akan ditutup serta-merta berdasarkan penilaian
-Kapasiti dan operasi pengangkutan awam dikurangkan


Pengarang :