Penduduk Palestin berkumpul di lokasi serangan udara Israel di Gaza pada 20 Mei 2021. Foto REUTERS
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Orang ramai digalak hulur sumbangan, bantu penduduk Palestin

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri menyeru orang ramai menyumbang ke Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin sebagai tanda solidariti terhadap umat Islam di Palestin.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sumbangan itu dapat membantu menjayakan misi pembelian ambulans yang dilengkapi kelengkapan perubatan.

“Krisis yang berlaku saudara seagama di Gaza harus diperjuang bersama dan saya percaya banyak tabung di Malaysia diwujudkan untuk bantu mereka.

“Justeru, saya menyeru penduduk Selangor khususnya untuk bersama menggerakkan tabung kemanusiaan dengan tujuan membeli ambulans membawa mangsa keganasan Zionis dan pembelian barangan kelengkapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Peduli Palestin yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Forum itu turut menampilkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Quds Foundation Malaysia Dr Sharif Amin Abu Shammala turut serta.

Sumbangan Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin boleh dibuat melalui nombor akaun 8604747531 (Cimb Islamic Bank Berhad) atas nama Bendahari Negeri Selangor dan rujukan Palestin.

Pada 19 Mei, Kerajaan Negeri melancarkan tabung itu dengan kerjasama Global Peace Mission bagi membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

Kempen selama 10 hari bermula 19 Mei menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan www.pedulipalestin.com/selangor dan salurkan bantuan ke nombor akaun 8604747531 – Bendahari Negeri Selangor (CIMB ISLAMIC) dengan rujukan Palestin.

 


Pengarang :