Seorang kakitangan perubatan mengisi jarum suntikan dengan dos vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksin Newcastle Racecourse, Newcastle pada 29 Januari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

PAKATAN gesa pemberian vaksin dipercepat

SHAH ALAM, 28 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa kerajaan mempercepatkan kadar pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat.

Majlis Presidennya berkata pemberian vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac masih belum mencapai peratusan dijanjikan ekoran dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu bekalan.

“Dos vaksin AstraZeneca juga tidak cukup termasuk isu pendaftaran yang menyukarkan rakyat meskipun RM70 juta telah dibelanja untuk membangunkan sistem laman sesawang,” katanya.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara juga digesa mempercepat kelulusan vaksin Sinopharm, Sputnik V dan Moderna agar sasaran imunisasi kelompok dapat dicapai lebih pantas.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah meluluskan vaksin Sinopharm termasuk Sputnik V dan Moderna telah mula diguna di pelbagai negara,” tambahnya.

Semalam, rakyat Malaysia rata-ratanya hampa apabila slot pusingan kedua tempahan vaksin AstraZeneca habis dalam tempoh sejam termasuk laman sesawangnya mengalami masalah pendaftaran.


Pengarang :