Tangkap layar rancangan televisyen swasta yang memaparkan kehidupan pasangan warga emas yang tinggal di rumah usang dalam hutan di Batang Kali pada 14 Mei 2021. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pasangan warga emas tinggal dalam hutan dibantu LZS sejak 2016

SHAH ALAM, 16 MEI: Kisah pasangan warga emas yang tinggal di rumah usang dalam hutan yang disiar menerusi program televisyen sudah beberapa kali mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua pegawai eksekutif berkata Mohd Lazim Ismail, 75, dan isteri, Fatimah Mat Rani, 65, menerima bantuan kewangan RM400 sebulan, makanan bulanan dan bantuan hari raya sejak 2016 hingga kini.

“Pasangan ini merupakan asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS dan tinggal di rumah atas tanah milik perseorangan di Estate Sungai Remok, Hulu Selangor.

“Rumah yang uzur ini terletak di atas tapak tanah milik orang lain jadi bantuan bina rumah asnaf tidak boleh diberikan kepada keluarga ini,” kata Saipolyazan M Yusop menerusi Facebook.

Tambah beliau LZS dan penolong amil kariah telah memujuk mereka untuk berpindah namun ditolak menerusi surat bertarikh 17 Jun 2020 kerana masih mahu tinggal di rumah tersebut.

Mengulas mengenai anak pasangan itu yang berada di perantauan, beliau berkata hasil siasatan agensi mendapati anaknya tinggal berhampiran dan hampir setiap hari menziarahi ibu bapanya.


Pengarang :