Botol berlabel ‘vaksin AstraZeneca Covid-19’ dan jarum suntikan dilihat di hadapan logo AstraZeneca yang dipapar dalam ilustrasi diambil pada 10 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penduduk KL, Selangor boleh daftar terima vaksin AstraZeneca mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor yang berhasrat mengambil vaksin Covid-19 AstraZeneca boleh mendapatkan tarikh dan tempat untuk menerima suntikan, dengan tempahan mula dibuka tengah hari esok (2 Mei) secara “siapa cepat, dia dapat”.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di http://vaksincovid.gov.my dan pilih tarikh serta tempat pemberian vaksin (PPV).

Beliau berkata janji temu pertama bagi slot vaksinasi akan dijalankan pada 5 Mei di PPV Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

“Selepas pilih tarikh dan tempat PPV, anda akan diberikan notifikasi mengenai waktu vaksinasi anda menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Ini adalah satu-satunya cara bagi memilih untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca. Berita mengenai hospital tertentu mengambil tempahan untuk pemberian vaksin AstraZeneca adalah tidak benar.

“Pemilihan AstraZeneca ini dibuka kepada 268,000 orang, bermula secara ‘siap cepat, dia dapat’ di laman web khusus bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.

“Sekiranya berjaya JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan meluaskan konsep tempahan ini ke negeri-negeri lain, sementara menunggu penghantaran seterusnya daripada AstraZeneca,” katanya menerusi hantaran Twitternya hari ini.

Pada April 28 lepas kerajaan mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 akan ditawarkan secara “siapa cepat dia dapat” kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor.

Langkah itu bertujuan menangani kerisauan dan kebimbangan orang ramai mengenai vaksin berkenaan, di samping tidak mahu menganggu program imunisasi yang sedang berlangsung.

– BERNAMA


Pengarang :