Orang ramai beratur menunggu giliran untuk menyertai Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Komuniti MBPJ, Petaling Jaya pada 23 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penduduk PJ, Subang Jaya beratur awal pagi buat saringan

PETALING JAYA, 23 MEI: Orang ramai mula memenuhi pekarangan Dewan Komuniti MBPJ di Kampung Lindungan seawal jam 8 pagi bagi membuat saringan Covid-19.

Tinjauan mendapati penduduk kawasan sekitar beratur sepanjang 100 meter dari pintuk masuk dewan untuk mendapatkan khidmat percuma ditawarkan Kerajaan Negeri.

Ada yang berpayung bagi mengelak cuaca panas dan berteduh bawah khemah sementara menunggu giliran, namun tetap mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan polis ditempatkan di situ bagi memantau pematuhan SOP.

Sementara itu, di Laman Sukan USJ 1, Subang Jaya saringan secara pandu lalu disediakan untuk warga emas, orang kelainan upaya, wanita mengandung dan keluarga yang membawa anak.

Mulai 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh negeri.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 menyasarkan individu yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.


Pengarang :