Botol berlabel ‘vaksin AstraZeneca Covid-19’ dan jarum suntikan dilihat di hadapan logo AstraZeneca yang dipapar dalam ilustrasi diambil pada 10 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Penerima vaksin AstraZeneca dapat pampasan jika ada kesan sampingan

SHAH ALAM, 4 MEI: Penerima suntikan vaksin AstraZeneca mendapat perlindungan insurans jika mengalami kesan sampingan, kata menteri sains.

Khairy Jamaluddin berkata perkara itu berikutan vaksin berkenaan sebahagian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), lapor Berita Harian.

“Ya, vaksinasi menggunakan AZ (AstraZeneca) dilindungi menerusi Dana Kecederaan Vaksin Covid-19.
Meskipun AZ ditawarkan secara sukarela, keseluruhannya ia masih sebahagian daripada PICK.

“Ia juga (diberikan secara) percuma kepada penduduk memandangkan ia sebahagian dariapada PICK,” tulisnya di Twitter pada Sabtu.

Pada 22 Mac, kerajaan memperuntuk RM10 juta bagi Dana Kecederaan Vaksin Covid-19 untuk menampung bayaran pampasan kepada individu yang mengalami kesan sampingan.

Penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan teruk bakal diberikan pampasan RM50,000 manakala RM500,000 jika cacat kekal atau meninggal dunia.

Kelmarin, permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca ditutup dalam tempoh kurang empat jam apabila kesemua 268,000 dos laris ditempah.

Pelalian secara percuma ditawarkan mulai jam 12 tengah hari kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan menetap sama ada di Selangor atau Kuala Lumpur.

Proses suntikan dijadual berlangsung di empat pusat pemberian vaksin khas mulai esok meliputi Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, Dewan 1, Bangunan Peperiksaan Universiti Malaya dan Dewan Gemilang Universiti Kebangsaan Malaysia.


Pengarang :