AGENDANASIONAL

Penghuni PPR terkesan PKP 3.0 boleh mohon tangguh sewa

SHAH ALAM, 14 MEI: Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) boleh memohon penangguhan sewa sekiranya terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata permohonan perlu dibuat menerusi Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) untuk pertimbangan.

“Kita tidak tawarkan kepada semua, siapa hendak tangguh boleh mohon. Keputusan ini mengambil kira kemampuan 60 peratus penghuni PPR membayar sewa seperti biasa ketika PKP kali pertama pada Mac tahun lepas.

“Justeru kita beranggapan ramai penghuni mampu bayar sewa dan ini disokong menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk membantu rakyat sejak perebakan Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penghantar barangan yang bernaung Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 12 Mei lalu.

Rodziah berkata seramai 2,050 penghuni PPR Kota Damansara, Kampung Baru Hicom di Shah Alam, Serendah di Rawang dan Council Homes di Bandar Baru Bangi turut menerima baucar RM100 sempena sambutan Aidilfitri.

Pada Februari penghuni empat PPR di Selangor menerima baucar sebanyak RM350 secara berperingkat dalam tempoh enam bulan melibatkan implikasi kewangan lebih RM800,000.

Sebelum ini penyewa PPR menikmati pengecualian sewa pada Januari dan penangguhan sewa Februari dan Mac serta penangguhan sewa tiga bulan (Januari- Mac) untuk 450 penyewa Skim Smart Sewa melibatkan peruntukan sejumlah RM2.7 juta.


Pengarang :