Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pengilang bantah PKP penuh, pertimbang nasib 25,000 pekerja

SHAH ALAM, 20 MEI: Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) membantah cadangan penutupan penuh sektor ekonomi bagi mengekang perebakan Covid-19.

Presidennya berkata hampir 5,000 syarikat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernaung di bawah persatuan itu masih terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

“Ahli kami menanggung kerugian sejak pandemik melanda malah sedang bangkit perlahan-lahan meneruskan perniagaan mulai awal 2021 mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Selain itu warga pengilang yang bernaung di bawah persatuan masih perlu membayar pinjaman, sewaan premis dan hampir 25,000 gaji pekerja,” kata Datuk Azman Yusoff menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau sebarang keputusan melaksanakan PKP penuh perlu mengambil kira nasib pekerja sekiranya pengilang tidak mampu lagi menanggung kerugian.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan PKP penuh dalam bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dato’ Seri Amirudin Shari bersedia menuruti arahan sedemikian namun menegaskan pertimbangan menyeluruh kepada aspek lain termasuk kesihatan mental dan kehilangan pendapatan.

Beliau menegaskan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan berbanding penjanaan ekonomi tetapi PKP harus diiringi pelbagai aspek lain termasuk pendidikan dan kesihatan mental.


Pengarang :