Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peniaga dan mengedarkan juadah berbuka puasa ketika program Jelajah Ramadan Kita Selangor di Bazar Ramadan Kosmopleks, Sepang pada 26 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Peniaga bazar dapat RM500 lepas dua minggu mohon

SHAH ALAM, 23 MEI: Peniaga bazar Ramadan di enam daerah yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menerima bantuan khas RM500.

Insentif itu akan diagihkan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan dibuat antara 22 Mei hingga 30 Jun melalui pautan www.selangorprihatin.com.

Pemohon perlu menyemak kelayakan menggunakan nombor kad pengenalan sebelum mengisi maklumat peribadi dan perniagaan berserta nombor akaun yang aktif.

Peniaga mestilah berdaftar dengan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Selain itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Kelmarin, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berkata bantuan sama turut ditawarkan kepada peniaga bazar bukan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Insentif itu akan disalurkan ke akaun pemohon manakala peniaga yang mempunyai masalah akaun perlu menghantar maklumat serta dokumen peribadi ke e-mel [email protected].

Penerima akan mendapat bantuan sekali sahaja meski ada lebih dari satu petak niaga atau permit.

Pada 5 Mei, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan RM500 kepada 11,000 penjaja bazar Ramadan yang terjejas bagi meringankan beban mereka membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu juga dapat menanggung keresahan peniaga akibat penutupan bazar Ramadan mulai 8 Mei.


Pengarang :