Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penjawat awam, pelajar perubatan bantu urus pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Selangor menyediakan beberapa inisiatif bagi melancarkan operasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terutama di Stadium Malawati.

Usaha meliputi penyediaan 150 sukarelawan dalam kalangan penjawat awam, penguat kuasa pihak berkuasa tempatan, petugas perubatan Selcare dan pelajar perubatan universiti swasta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan berkata pertambahan sukarelawan akan membantu pengurusan trafik dan penilaian pesakit Covid-19.

“Kerajaan Negeri turut bersetuju mewujudkan pusat panggilan yang akan dilaksanakan sukarelawan perubatan bertujuan mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah,” katanya.

Amirudin berkata kaunter khas juga diwujudkan mulai minggu depan bagi memotong gelang atau penamatan kuarantin di rumah untuk mengatasi kesesakan di CAC Stadium Malawati.

Dato’ Menteri Besar turut mencadangkan CAC swasta melibatkan klinik dan fasiliti perubatan dibenar membuat Perintah Pengawasan dan Pemantauan di Rumah (HSO).

“Ini membolehkan mereka memberi kebenaran pemakaian gelang kuarantin kepada individu positif atau kontak rapat. Dengan pelaksanaan ini, maka pesakit tidak perlu hadir ke CAC daerah tetapi boleh ke CAC swasta.

“Di Selangor, terdapat 65 pengamal perubatan yang diberi kebenaran untuk melaksanakan HSO. Senarai CAC swasta tersebut akan dimaklumkan kemudian,” kata Amirudin lagi.

Semalam, Amirudin berkata Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memenuhi keperluan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor meskipun CAC bukan bawah bidang kuasanya.


Pengarang :