Dr Siti Mariah Mahmud
EXCOSELANGOR

Penutupan bazar Ramadan demi jaga nyawa rakyat

SHAH ALAM, 10 MEI: Tindakan Kerajaan Negeri menutup bazar Ramadan demi menjaga nyawa dan keselamatan rakyat walaupun dianggap sebagai keputusan tidak popular.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata langkah itu bukan mahu menyusahkan rakyat sebaliknya mengelakkan kesesakan yang menjadi punca kepada perebakan kes Covid-19.

“Demi kehidupan rakyat dan nyawa mereka, Kerajaan Selangor terpaksa buat keputusan tak popular ini, langkah ini perlu diambil kerana jika kita tak kawal dari sekarang, mungkin akan berlaku peningkatan kes dan pada masa itu ia sudah tak mampu dikawal.

“Tidak dinafikan ada rakyat yang patuh tatacara operasi piawai (SOP), tetapi tidak semua. Masih ada sebahagian yang bersesak-sesak dan kita bimbang jika SOP dilanggar, mungkin virus yang berada di udara akan menjangkiti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum ‘Tanya Apa Saja: Covid-19 Membunuh?’ secara langsung di Facebook hari ini. Turut sama ialah Ahli Pasukan Petugas Khas Covid-19 Selangor (STFC) Prof Dr Adeeba Kamarulzaman dan Pengarah Pasukan Khas Selangor Covid-19 (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli.

Siti Mariah juga berkata larangan rentas negeri yang masih berterusan sehingga Aidilfitri juga demi kebaikan rakyat termasuk mengelak perebakan varian baharu.

“Sebelum ini virus Covid-19 varian Afrika Selatan dikesan di Kelantan, jika ada yang dibenarkan pulang ke kampung halaman, mungkin sekembalinya mereka nanti secara tidak sengaja akan bawa virus ke tempat masing-masing.

“Kita tidak mahu situasi di India berlaku di negara ini, mereka baru gelombang kedua tetapi sudah ratusan ribu yang meninggal setiap hari, oleh sebab itu kerajaan kena bertanggungjawab dengan melakukan keputusan sebegini,” katanya.


Pengarang :