Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Orang Ramai Seksyen 7, Sungai Ramal, Kajang pada 9 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Pereka fesyen terkenal sertai saringan percuma Covid-19

BANGI, 10 MEI: Pereka fesyen terkenal Melinda Looi tidak melepaskan peluang membuat saringan Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri yang diadakan di Dewan Serbaguna, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Melinda berkata beliau hadir kerana rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dan penduduk Selangor untuk memastikan status kesihatan diri dan keluarga berada dalam keadaan baik.

“Selain itu, tujuan saringan ini juga untuk memastikan saya dan anak-anak tahu sama ada dijangkiti Covid-19 atau tidak.

“Inisiatif saringan ini amat bagus dan saya rasa masyarakat harus ambil peluang membawa orang yang tersayang kerana sangat penting untuk kita jaga sesama kita,” katanya yang hadir bersama tujuh ahli keluarga termasuk pembantu rumah.

Selain itu, Norasidah Ghani, 40, berkata beliau dan keluarga turut tidak melepaskan peluang membuat saringan percuma itu selepas terdapat kes positif di sekolah anaknya.

“Hari ini saya dan suami bawa lima anak kami bagi memastikan kami semua benar-benar selamat dan tidak dijangkiti virus tersebut,” katanya.

Manakala, N Kasturi, 28, berharap inisiatif percuma itu diteruskan yang mana dapat membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) agar tidak terkecuali membuat saringan.


Pengarang :