Perkeso melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia bagi membantu majikan mengambil pekerja baharu.
AGENDANASIONAL

Perkeso sasar lindungi 200,000 orang bekerja sendiri

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan untuk melindungi 200,000 pekerja aktif daripada kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) menjelang akhir tahun ini.

Perkeso dalam satu kenyataan memaklumkan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) menyokong dan memperakui perancangan pertubuhan itu untuk meluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS melalui inisiatif kolaborasi bersama beberapa pihak.

Kolaborasi itu termasuk dengan Kementerian Pengangkutan atau persatuan pekerja seperti Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia.

Kenyataan itu menyebut Perkeso telah memaklumkan terdapat peningkatan positif dalam jumlah OBS termasuk pekerja sampingan yang mendapat perlindungan sosial daripada pertubuhan itu semasa mesyuarat ketiga NEC yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Menurut Perkeso, jumlah OBS aktif setakat ini berjumlah lebih 142,000 individu, meningkat daripada 2,338 individu pada 2017; lebih 71,000 pada tahun 2019 dan lebih 80,000 (2020).

“Lonjakan ini adalah hasil pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh mereka yang bekerja sendiri termasuk pekerja gig terutamanya dalam mendepani pandemik Covid-19 yang melanda,” menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan itu membolehkan Perkeso dengan sokongan Kementerian Kewangan menerusi pelbagai pakej rangsangan yang diperkenalkan merangka tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial ke atas golongan bekerja sendiri termasuk PenjanaGig, Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

Selain itu, Perkeso bersama-sama Kementerian Sumber Manusia merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan (Akta 800) yang akan memberikan perlindungan kepada kumpulan OBS apabila berlaku kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat daripada kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain.

“OBS yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akan diberi akses kepada perkhidmatan pekerjaan menerusi portal MYFutureJobs dan program pasaran buruh aktif di bawah Perkeso yang akan membantu dalam mengurangkan tempoh masa pengangguran dan juga peningkatan kerjaya mereka,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :