Data peribadi dalam aplikasi MySejahtera selamat kerana dikawal selia sepenuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Persatuan penduduk pertikai data kes Covid-19 MySejahtera

SHAH ALAM, 16 MEI: Sebuah persatuan penduduk di Shah Alam mempertikaikan data ‘hotspot tracker’ menerusi aplikasi MySejahtera yang didakwa tidak tepat dan menimbulkan situasi panik masyarakat.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Kayangan Seksyen 12 berkata data yang dikeluarkan Sabtu lalu menunjukkan kawasan itu merekodkan 52 kes positif Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dan menjadi lokasi berisiko penularan wabak.

Datuk Helmi Daud berkata data itu meragukan kerana pihaknya sebelum ini langsung tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk yang dijangkiti Covid-19, lapor Sinar Harian.

“Seksyen 12 mempunyai sekitar 83 rumah dan 60 keluarga menetap di sini namun saya sendiri tidak menerima laporan penduduk dijangkiti Covid-19.

“Jadi data-data dikeluarkan menerusi aplikasi MySejahtera itu tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Jelasnya, beliau turut dihubungi pelbagai pihak termasuk wakil dari Istana Selangor yang bertanya mengenai status wabak di kawasan itu selepas data itu disiarkan menerusi aplikasi tersebut.

‘Hotspot tracker’ menerusi aplikasi MySejahtera dibangunkan bagi membolehkan orang ramai mengesan kes positif Covid-19 yang dilaporkan dalam radius satu kilometer dari kawasan tertentu.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan terdapat 941 kes Covid-19 direkodkan berasal dari 27 seksyen di Shah Alam terutama Seksyen 19 dan 23 yang memiliki populasi padat dengan kawasan perindustrian dan bandar komersial.

Menurut laporan, kawasan perumahan di situ merekodkan 212 kes sejak dua minggu lalu selain Seksyen 10 (66), Sekyen 11 (55) dan Seksyen 12 (52).


Pengarang :