Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergambar dengan dekorasi Aidilfitri di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pesakit Covid-19 rai Syawal di pusat kuarantin Serdang

SERDANG, 13 MEI: Suasana Hari Raya tetap ada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi merai pesakit serta petugas.

Bermula malam tadi, para pesakit di setiap dewan mula bertakbir dan masing-masing menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi tadi.

Pengarah PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS berkata pesakit juga dirai dengan juadah Aidilfitri bagi membangkitkan suasana berhari raya.

Pegarah PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim

“Juadah seperti ketupat, lemang disediakan bagi menghidupkan suasana raya untuk memastikan mereka tidak terlalu sedih.

“Ada kalangan mereka dari tahfiz jadi kita bekalkan mereka ‘mic’ untuk mereka memimpin takbir dan solat,” kata Dr Shahabuddin Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan singkat Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Katanya, bagi petugas pula pertandingan dekorasi Aidilfitri diwujudkan bagi memeriahkan suasana di sekitar dewan.

“Setiap dewan dan setiap agensi yang bertugas akan menggunakan kreativiti masing-masing untuk membuat dekorasi.

“Ada dekorasi membakar lemang, membuat dodol yang direka mereka. Malah ruangan bergambar turut disediakan bagi masing-masing merakam gambar kenangan,” katanya.


Pengarang :