Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan pek juadah Aidilfitri kepada petugas dan pesakit di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Petugas, pesakit pusat kuarantin Serdang terima juadah Aidilfitri

SERDANG, 13 MEI: Lebih 6,000 pek juadah Aidilfitri disumbangkan Kerajaan Negeri kepada petugas dan pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan berkenaan diberi kepada lebih 4,000 pesakit dan 1,200 petugas yang sebahagian besarnya adalah warga Selangor.

“Ini sumbangan kecil kami terhadap pesakit serta petugas yang telah bertungkus lumus selama berbulan-bulan untuk menangani ledakan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari melawat bilik operasi dan melihat jumlah terkini pesakit di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Serdang pada 13 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagi pihak Kerajaan Negeri sudah pasti kita ingin ucapkan ribuan terima kasih dan syabas kepada mereka yang terus menerus membantu serta menyelenggara penempatan kuarantin yang majoriti dari Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan singkat bertemu petugas dan menyampaikan pek juadah Aidilfitri di PKRC Bersepadu 2.0 di MAEPS hari ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan pesakit dari negeri lain seperti Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka turut dihantar ke pusat kuarantin berkenaan.

“Kita berbangga kerana Selangor dipilih dan MAEPS dipilih sebagai lokasi rawatan. Petugas kita akan sentiasa membantu dari masa ke semasa bagi terus melawan dan mengekang wabak Covid-19,” katanya.


Pengarang :