AGENDANASIONAL

PKP: JPN tangguh operasi seluruh negara kecuali kes kecemasan

PUTRAJAYA, 31 MEI: Semua urusan kaunter di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) ditangguhkan sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang bermula esok.

JPN dalam kenyataan hari ini menyatakan, bagi pelanggan yang telah mempunyai janji temu dalam tempoh sekatan itu, mereka boleh menghubungi pihak JPN bagi penjadualan semula tarikh berkenaan.

“Orang ramai turut dinasihatkan menggunakan perkhidmatan dalam talian JPN, untuk memohon dokumen-dokumen yang diperlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan JPN itu menyatakan, pengecualian diberikan bagi urusan kes kecemasan seperti gantian MyKad rosak atau hilang bagi kes kecemasan, seperti urusan bank dan rawatan perubatan, dan sijil kematian untuk tatacara penghantaran pulang jenazah warga asing, yang meninggal dunia di Malaysia ke negara asal.

Kes kecemasan turut dibenarkan ialah sijil kelahiran (pendaftaran baru atau cabutan) bagi tujuan rawatan perubatan dan sijil kelahiran (pendaftaran baru atau cabutan) anak kepada warga asing yang lahir di Malaysia, bagi tujuan tatacara membawa pulang kanak-kanak tersebut ke negara asal.

Bagi upacara perkahwinan di pejabat JPN dan rumah ibadat kenyataan itu menyatakan, urusan tersebut turut ditangguhkan sehingga tamat tempoh sekatan kecuali kes kecemasan yang memerlukan upacara dibuat segera, seperti tarikh upacara yang akan tamat tempoh enam bulan daripada tarikh permohonan.

Sebarang pertanyaan, permohonan mendesak atau kes-kes kecemasan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan JPN atau e-mel pertanyaan ke [email protected].

-BERNAMA


Pengarang :