AGENDANASIONAL

PKP: Penggambaran filem, drama dibenar dalam studio, pawagam tutup

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Aktiviti penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya bagi rakaman dalaman (studio), dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 7 Jun.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan aktiviti itu dibenarkan dengan jumlah kru yang minimum tanpa penonton, selain perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) dan tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Industri Kreatif yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, operasi pawagam tersenarai sebagai aktiviti yang tidak dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Aktiviti pawagam pandu masuk dibenarkan dengan syarat, perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN serta semua garis panduan meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan,”kata Finas dalam kenyataan hari ini.

Perincian lanjut mengenai SOP dan garis panduan tersebut boleh didapati menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my

Pada Isnin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara sebagai langkah tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 berikutan trend kenaikan kes secara mendadak.

-BERNAMA


Pengarang :